Tuesday, February 1, 2011

SEPULUH KEDUA SOLAT SUNAT


11.     SOLAT SUNAT TAHAJJUD

‘Tahajjud’ dari segi bahasanya bermaksud bangun dari tidur pada waktu separuh malam yang akhir. Dikerjakan untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Masa Mengerjakan

Waktunya selepas menunaikan solat sunnat Isya’ hinggalah waktu subuh. Boleh dilakukan pada awal malam, pertengahan ataupun akhir malam. Namun waktu yang paling afdhal adalah sepertiga malam yang akhir (lebih kurang pukul 2.00 pagi hingga syuruk)

Perkara Yang Sunat Dilakukan Sebelum Mengerjakan Solat Sunat Tahajjud

i.        Berniat untuk bangun Tahajjud sebelum tidur.

Dari Abu Darda r.a. katanya bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Barangsiapa yang hendak tidur dan berniat untuk bangun bagi melakukan solat malam, kemudian dia tertidur sehingga pagi, maka dicatatkan niatnya sebagai suatu pahala, sehingga tidurnya dianggap sebagai kurnia yang diberikan Tuhannya kepadanya.” (Riwayat Imam An-Nasai dan Ibnu Majjah)

ii.       Berusaha menghilangkan rasa mengantuk ketika bangun lalu bersugi. Setelah itu berdoa seperti berikut :-

Ertinya : “Tiada Tuhan melainkan Engkau. Maha Suci Engkau, aku memohon ampun kepadaMu dari segala dosa-dosaku dan aku juga memohon rahmatMu. Ya Allah! Tambahkanlah pengetahuanku dan janganlah Engkau pesongkan hatiku sesudah Engkau berikan hidayah kepadaku. Limpahkanlah rahmat kepadaku dari sisiMu, kerana Engkau adalah Maha Pemberi. Segala puji bagi Allah yang menghidupkan aku kembali sesudah aku mati dan kepadaNya pula aku akan kembali,”

Kemudian baca sepuluh ayat terakhir dari surah Ali Imran (Ayat 190 hingga 200)

Setelah itu, dirikan solat Iftitah dua rakaat, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a. katanya yang bermaksud : “Rasulullah s.a.w. itu, apabila bangun malam untuk mengerjakan solat, beliau memulainya dengan dua rakaat ringan.”

Kejutkan ahli keluarga untuk turut solat bersama-sama.
Dari Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud : “Allah memberikan rahmat kepada seorang lelaki yang bangun malam untuk melakukan solat lalu membangunkan pula isterinya. Dan apabila isterinya itu menolak lalu dipercikkannya air di mukanya. Allah juga memberikan rahmatNya kepada seorang perempuan yang bangun malam untuk melakukan solat lalu membangunkan pula suaminya. Dan apabila suaminya itu menolak lalu dipercikkannya air di mukanya.

Solatlah sekadar yang mampu tetapi kekalkan amalan tersebut (istiqomah).
Cara Mengerjakannya

Terdapat berbagai cara dalam mendirikan solat sunat Tahajjud yang pernah Rasulullah s.a.w. lakukan : iaitu seperti berikut :-

i.        Cara Yang Diceritakan Oleh Ibnu Abbas r.a.

“Bahawa Rasulullah s.a.w. bangun dari tidurnya, lantas bersugi dan berwudhu’. Kemudian baginda membaca sepuluh ayat terakhir dari surah Ali Imran dan baginda berdiri lalu solat sebanyak dua rakaat dengan memanjangkan berdiri, ruku’ dan sujud. Sesudah itu Baginda tidur agak sebentar, kemudian bangun dan melakukan sebagaimana yang dilakukannya tadi. Demikianlah berulang-ulang hingga sampai tiga kali solat. Dan Baginda akhiri Tahajjudnya itu dengan tiga rakaat Witir. Ketika azan Subuh dikumandangkan oleh muazzin, Baginda keluar untuk pergi ke masjid, ketika itu Rasulullah s.a.w. membaca doa yang bermaksud : “Ya Allah! Jadikanlah di dalam hatiku cahaya yang cemerlang pada lidahku cahaya yang cemerlang pada lidahku cahaya yang cemerlang serta jadikanlah penglihatanku cahaya yang cemerlang, jadikanlah di belakangku cahaya yang cemerlang dan di hadapanku cahaya yang cemerlang. Jadikanlah dari atasku cahaya yang cemerlang dan dari bawahku cahaya yang cemerlang.”

ii.       Cara Yang Diceritakan Oleh Aishah r.a.

“Bahawa Rasulullah membuka solatnya dengan dua rakaat yang ringan. Kemudian bersolat sebanyak 10 rakaat sunat Tahajjud dengan lima salam, akhirnya Baginda melakukan solat Witir sebanyak satu rakaat.”

Dalam riwayat yang lain Aishah r.a. menjelaskan bahawa Rasulullah mengerjakan dua rakaat Iftitah, kemudian solat Tahajjud sebanyak enam rakaat dengan tiga salam. Akhirnya mengerjakan solat Witir lima rakaat dengan satu tasyahhud dan satu salam.

Aisyah r.a. juga pernah menjelaskan bahawa Rasulullah mengerjakan solat Tahajjud sebanyak lapan rakaat dengan dua tasyahud dan dua salam. Kemudian melakukan solat Witir sebanyak tiga rakaat.

iii.      Cara Yang Diceritakan Oleh Ibnu Umar r.a.

“Bahawa Rasulullah melakukan solat Tahajjud sebanyak lapan rakaat dengan empat salam, kemudian solat sunat Witir sebanyak satu rakaat.”

iv.      Cara Yang Diceritakan Oleh Al_Sa’ib Ibn Yazid r.a.

“Bahawa Rasulullah melakukan solat malam itu sebanyak 13 rakaat yang terdiri dari dua rakaat solat Iftitah, lapan rakaat solat sunat Tahajjud dan tiga rakaat solat sunat Witir.”

Bilangan rakaat – Boleh dilakukan mengikut kemampuan (minima dua rakaat)

v   Lafaz Niat

“Sahaja aku solat sunat Tahajjud dua rakaat kerana Allah Ta’ala.

v   Bacaan surah selepas Al-Fatihah

v   Rakaat Pertama – Ayat Kursi tujuh kali
v   Rakaat kedua –surah Al-Ikhlas sebelas kali

Dalam sujud terakhir, selepas membaca tasbih biasa sewaktu sujud, bacalah doa berikut:

Ertinya : Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tiada Tuhan yang patut disembah hanya Engkau menjadikan aku. Aku hambaMu dan aku dalam genggamanMu. Aku dalam perjanjian beriman dan bertaat kepada Mu sekadar kesanggupan yang ada padaku. Aku berlindung kepadaMu dari kejahatan yang aku perbuat. Aku mengakui atas nikmat yang Engkau berikan kepadaku dan mengakui atas dosaku, aku mohon keampunanMu. Tidaklah ada yang dapat mengampuni dosa seseorang hanya Engkaulah Hai Tuhanku.”

Keutamaan Mengerjakannya.

Diriwayatkan oleh Jama’ah dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Perintah Allah ‘Azza Wa Jalla, turun setiap malam ke langit dunia, tatkala malam tinggal sepertiga akhir, dan berfirman, “Barangsiapa yang berdoa kepadaKu pasti akan Aku kabulkan, barangsiapa yang bermohon kepadaKu pasti akan Aku perkenankan, dan barangsiapa yang meminta ampun kepadaKu pasti akan Aku ampuni. Sehinggalah terbit fajar (subuh).

Manakala ‘Amr bin ‘Abash meriwayatkan yang bermaksud : “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : “Sedekat-dekat hamba kepada Allah ialah pada sepertiga malam terakhir, maka jikalau engkau dapat termasuk golongan orang yang berzikir kepada Allah pada ketika itu, usahakanlah.”

12.     SOLAT SUNAT HAJAT

Solat sunat dikerjakan bagi seseorang yang mempunyai keinginan serta keperluan samada bagi urusan dunia atau akhirat. Sesiapa yang merasa ‘terdesak’ dalam suatu urusan adalah disunatkan untuk mengerjakan solat sunat Hajat bagi seseorang yang ingin mengadu kepadaNya asalkan hajat tersebut tidak bersifat mungkar atau maksiat.

Masa Mengerjakan

Waktu mengerjakan solat sunat Hajat ini tidak ditentukan (boleh dilakukan pada bila-bila masa kecuali pada waktu yang diharamkan) tetapi sebaiknya dilakukan pada waktu tengah malam (sepertiga malam) iaitu selepas pukul 2.00 pagi sehiongga waktu Subuh. Adalah lebih afdhal dikerjakan solat sunat Tahajjud terlebih dahulu.

Cara Mengerjakannya

Terdapat pelbagai cara dalam melaksanakan solat Hajat, namun dasar dan rukunnya sama sahaja dengan solat sunat biasa. Apa yang berubah adalah tatatertib dan bacaannya.

i.          Cara Pertama
v   Bilangan rakaat – 2 rakaat satu salam.

v   Lafaz Niat

“Sahaja aku solat sunat Hajat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.

v   Bacaan surah selepas Al-Fatihah

v   Rakaat Pertama – Surah Al-Kafiruun sepuluh kali
v   Rakaat kedua –surah Al-Ikhlas sepuluh kali

Selepas memberi salam sujud kembali dan baca ayat-ayat berikut :

a.       Berdoa seperti berikut sebanyak 10 kali

“Ya Tuhan kami, kurniakanlah kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan jauhkanlah kami dari siksa api neraka.”

b.       Selawat sebanyak 10 kali

“Ya Allah, kurniakanlah kepada junjungan kami kesejahteraan dan bagitu juga atas keluarganya.

c.       Baca seperti berikut sebanyak 10 kali

“Tiada daya dan upaya, melainkan dengan kekuasaan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agong.

d.      Apabila selesai, mohonlah kepada Allah (dalam hati) atas perkara yang dihajati.

iii.      Cara Ketiga

Bilangan rakaat – 4 rakaat satu salam.

Lafaz Niat

“Sahaja aku solat sunat Hajat empat rakaat kerana Allah Ta’ala.

Bacaan surah selepas Al-Fatihah

v   Rakaat Pertama – Surah Al-Ikhlas dua puluh kali
v   Rakaat Kedua – Surah Al-Ikhlas sebelas kali
v   Rakaat Ketiga – Surah Al-Ikhlas empat puluh kali
v   Rakaat kedua – Surah Al-Ikhlas tiga puluh kali

Dalam sujud sebelum tahiyat akhir iaitu selepas tasbih biasa dibaca, ucapkan doa berikut :

Ertinya : Maha Suci Allah yang mengenakan pakaian Kemuliaan dan berfirman dengan Dia. Maha Suci Allah yang Maha Besar dan Pemurah, Maha suci Allah yang menjangkau segala sesuatu dengan IlmuNya. Maha suci Allah yang tiadalah bertasbih selain untukNya. Maha suci Allah yang Maha Besar dan Mulia, Maha suci Allah yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan, Maha suci Allah yang mempunyai Keagungan.”

Aku bermohon kepadaMu dengan kemegahan ArashMu dan kesempurnaan Rahmat dari kitabMu, dengan namaMu yang Maha Agung. KesungguhanMu yang Maha Tinggi dan kalimat-kalimatMu yang sempurna lagi dilengkapi, yang tidak melampaui oleh orang berbuat kebaikan dan yang berbuat kejahatan.”

Anugerahkanlah selawat dan salam kepada nabi Muhammad s.a.w. dan kepada keluarganya. (Sebutkan perkara yang dihajati).

iv.        Cara Keempat

Bilangan rakaat – 12 rakaat 6 salam (setiap 2 rakaat satu salam)

Lafaz niat ;

Sahaja aku solat sunat Hajat dua rakaat kerana Allah Ta’ala

Bacaan surah selepas Al-Fatihah

a)             Rakaat Pertama – Surah Al-Kafiruun
b)             Rakaat Kedua – Surah Al-Ikhlas
(seeloknya surah yang anda sudah hafal dengan baik)

Dalam rakaat yang ke 12, pada rakaat yang terakhir sebelum salam, sujud semula dan baca ayat-ayat berikut di dalam sujud;

a)             Surah al-Fatihah 7 kali
b)             Ayat Kursi 7 kali
c)             Puji-pujian bagi Allah 10 kali seperti berikut :-


Ertinya : “Tiada Tuhan selain Allah, Maha Esa Dia, tiada sekutu bagiNya. Kepunyaan – Nyalah segala kerajaan (kekuasaan) dan bagiNyalah segala pujian. Dan Dia atas segala sesuatu Maha Berkuasa.”

Kemudian baca doa berikut ;


Ertinya : “Ya Allah! Sesungguhnya aku bermohon kepada Engkau dengan keteguhan ikatan daripada Arasy Engkau, dan sehabis-habis Rahmat dari kitab Engkau dan dengan nama Engkau yang Maha Besar dan pada wajah Engkau yang Maha Tinggi, dari kalimat Engkau yang Maha Sempurna maka Engkau penuhilah hajatku.”

Setelah itu mohonlah kepada Allah s.w.t atas segala apa yang dihajati.

Apabila selesai, bangun dari sujud dan beri salam.

v.       Cara Kelima

Bilangan rakaat – 12 rakaat 6 salam

Lafaz Niat

Sahaja aku solat sunat Hajat dua rakaat kerana Allah Ta’ala

Bacaan surah selepas Al-Fatihah

Rakaat Pertama – Ayat Kursi dan Surah Al-Ikhlas
Rakaat Kedua – Ayat Kursi dan Surah Al-Ikhlas
( baca surah di atas pada setiap rakaat hingga 12 rakaat)

Apabila selesai 12 rakaat 6 salam, sujud semula dan mohonlah kepada Allah di atas perkara yang dihajati.
         

NOTA ; Terdapat beberapa cara lagi dalam mengerjakan solat sunat Hajat. Namun pada prinsipnya ianya adalah sama sahaja, apa yang berbeza adalah dalam tertib bacaan surah selepas Fatihah dan doa sebab tiada hadis yang sahih menetapkan perkara-perkara tersebut. Di dalam ruangan ini hanya 5 cara sahaja yang dapat dikongsikan bersama sebagai panduan.

Keutamaan Mengerjakannya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : “Hai orang-orang yang beriman, mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan mengerjakan solat, sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar. (Al-Baqoroh Ayat 133)

Monday, January 31, 2011

KOMPILASI SOLAT-SOLAT SUNAT






KOMPILASI SOLAT-SOLAT SUNAT

Solat Sunat Wudhu’

Solat Wudhu’ adalah solat sunat mustahab (disukai dan dianjurkan) merupakan solat yang dikerjakan sebagai tanda syukur kepada Allah S.W.T. dan berharap keampunan-Nya dari segala dosa-dosa semua anggota badan yang dicuci dan dibasuh.

Masa Mengerjakan

Masa mengerjakan solat sunat wudhu’ boleh dilakukan pada bila-bila masa iaitu selepas sahaja mengambil wudhu’

Cara Mengerjakannya :-

Bilangan rakaat – 2 rakaat

Lafaz niat :-
“Sahaja aku solat sunat wudhu’ dua rakaat kerana Allah Ta’ala”.

Bacaan surah selepas Al-Fatihah,

Rakaat Pertama – Surah Al-Kafirun
Rakaat Kedua – Surah Al-Ikhlas

Doa selepas solat sunat wudhu’

Ertinya : “Aku bersaksi tiada Tuhan melainkan Allah dan tidak ada yang menyekutukan bagi-Nya. Dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah hamba-Nya dan utusan-Nya. Ya Allah! Jadikanlah aku orang yang ahli bertaubat, dan jadikanlah aku orang yang suci dan jadikanlah aku dari golongan orang-orang yang soleh. Maha suci Engkau ya Allah dan dengan kepujian Engkau dan aku naik saksi bahawasanya tiada Tuhan melainkan Engkau, aku pohonkan keampunan daripada Engkau dan aku bertaubat kepada-Mu.”

Keutamaan Mengerjakannya ;-

Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Bilal pada waktu Solat Subuh : “Wahai Bilal ceritakanlah kepadaku amal apakah yang engkau lakukan dalam Islam sehingga saya telah mendengar detak suara sandalmu di syurga?. Bilal menjawab : “Saya tidak melakukan suatu pekerjaan yang menyelamatkan saya, sungguh saya tidak menghilangkan najis di malam atau siang hari kecuali saya melakukan solat dengan kesucian itu (wudhu’) yang telah diwajibkan kepada untuk solat.”

Daripada Buraidah meriwayatkan katanya yang bermaksud : “Rasulullah s.a.w. bangun pagi lalu beliau memanggil Bilal, sabdanya “Hai Bilal! Dengan amalan apakah engkau telah mendahuluiku ke syurga? Aku tidak masuk syurga sama sekali melainkan aku dengar satu gerakan suara di depanku. Bilal menjawab “Hai Rasulullah! Saya tidak berazan sama sekali melainkan saya bersolat dua rakaat. Dan saya tidak ditimpa hadas sama sekali melainkan saya berwudhu’ disisiNya dan saya nampak bahawa Allah mempunyai dua rakaat ke atas saya. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda : “Dengan kedua-duanya”
Hadis riwayat At-Tirmizi dan Ahmad

Uqbah bin Amir meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : “Tiada seorang Muslim yang berwudhu’ lalu ia membaguskan wudhu’nya, kemudia ia bangun bersolat dua rakaat dengan keadaan mengadap kepada dua rakaat solatnya itu dengan hari dan wajahnya melainkan wajiblah bagi syurga.”


2.       SOLAT SUNAT FAJAR

Masa Mengerjakan

Masa bagi solat Fajar ialah di antara azan dan qamat solat subuh, iaitu setelah masuk waktu subuh – selepas azan subuh.

Dalam sebuah hadis Bukhari – Muslim dan diriwayatkan oleh Hafsah maksudnya : “Rasulullah s.a.w. ketika mendengar azan subuh, baginda solat dua rakaat yang ringan”.

Cara Mengerjakannya

v   Bilangan rakaat – 2 rakaat 

v   Lafaz Niat

“Sahaja aku solat sunat Fajar dua rakaat kerana Allah Ta’ala.

v   Bacaan surah selepas Al-Fatihah

v   Rakaat Pertama – baca surah Al-Kafirun
v   Rakaat kedua – baca surah Al-Ikhlas

v   Setelah memberi salam maka ucapkanlah :
Ertinya : “Wahai yang hidup selama-lamanya, wahai yang mempunyai kebesaran dan kepemurahan, aku mohon kepadaMu supaya menghidupkan hatiku dengan Nur MakrifatMu, Ya Allah! Ya Allah! Wahai yang menghidupkan yang mati, wahai kekasih: kasih yang pengasih.”
v   Doa selepas solat sunat Fajar

Ertinya : “Ya Allah, ya Tuhan Jibril dan Mikail, dan Israfil dan Izrail dan Tuhan Muhammad s.a.w., selamatkanlah aku dari api neraka.”

Keutamaan Mengerjakannya ;-
3.       SOLAT SUNAT RAWATIB

Solat sunat Rawatib adalah solat-solat yang mengiringi solat fardhu, yang dikerjakan sebelum atau sesudahnya sebagai solat tambahan. Antara solat sunat Rawatib yang muakkad adalah :-

i.        Solat sunat sebelum Subuh (Qabliyatan)       -      2 rakaat
ii.       Solat sunat sebelum Zohor (Qabliyatan)       -      2 rakaat
iii.      Solat sunat selepas Zohor (Ba’diatan)           -      2 rakaat
iv.      Solat sunat sebelum Asar (Qabliyatan)          -      2 rakaat
v.       Solat sunat Selepas Maghrib (Ba’diatan)      -      2 rakaat
vi.      Solat sunat sebelum Isya’ (Qabliyatan)         -      2 rakaat
vii.     Solat sunat selepas Isya’ (Ba’diatan)             -      2 rakaat

i.        SOLAT SUNAT SEBELUM SUBUH (QABLIYATAN)

Masa Mengerjakan

Setelah masuk waktu subuh, iaitu sesudah azan sebelum iqamah.

Cara Mengerjakannya

v   Bilangan rakaat – 2 rakaat

v   Lafaz Niat
“Sahaja aku solat sunat sebelum Subuh dua rakaat kerana Allah Ta’ala.

v   Bacaan surah selepas Al-Fatihah

v   Rakaat Pertama – baca surah Al-Kafirun
v   Rakaat kedua – baca surah Al-Ikhlas

Keutamaan Solat Sunat Sebelum Subuh

Daripada ‘Aishah r.ha meriwayatkan bahawa, maksudnya ; “Bahawasanya Nabi s.a.w. tidak meninggalkan empat rakaat sebelum Zohor dan dua rakaat sebelum subuh.” Hadis Riwayat al-Bukhari.

ii.       SOLAT SUNAT SEBELUM ZOHOR (QABLIYATAN)

Masa Mengerjakan

Setelah masuk waktu Zohor, iaitu sesudah azan – sebelum iqamah.

Cara Mengerjakannya

v   Bilangan rakaat – 2 rakaat

v   Lafaz Niat
“Sahaja aku solat sunat sebelum Zohor dua rakaat kerana Allah Ta’ala.

v   Bacaan surah selepas Al-Fatihah

v   Rakaat Pertama – baca surah Al-Kafirun
v   Rakaat kedua – baca surah Al-Ikhlas

iii.      SOLAT SUNAT SELEPAS ZOHOR (BA’DIAYATAN)

Masa Mengerjakan

Setelah solat fardhu Zohor, sebaik-baiknya dilakukan sesuda wirid dan berdoa. – Muakaad.

Cara Mengerjakannya

v   Bilangan rakaat – 2 rakaat

v   Lafaz Niat

“Sahaja aku solat sunat selepas Zohor dua rakaat kerana Allah Ta’ala.

v   Bacaan surah selepas Al-Fatihah

v   Rakaat Pertama – baca surah Al- Ikhlas
v   Rakaat kedua – baca surah An-Nas

Keutamaan Solat Sunat Sebelum dan Selepas Zohor

a)             Daripada Ummu Habibah r.ha meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya : “Barangsiapa bersolat empat rakaat sebelum Zohor dan empat rakaat seduahnya nescaya Allah mengharamkan ke atasnya neraka.” (Hadis Riwayat Ibnu Majjah)

b)             Abdullah bin As-Saib meriwayatkan katanya yang bermaksud : Bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersolat empat rakaat sebelum Zohor dan baginda bersabda : “Bahawasanya dia adalah saat dibukakan pintu-pintu langit makan aku suka supaya amal solehku di angkat padanya.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

iv.      SOLAT SUNAT SUNAT SEBELUM ASAR (QABLIYATAN)

Masa Mengerjakan

Setelah masuk waktu Asar, selepas azan – Muakkad.

Cara Mengerjakannya

v   Bilangan rakaat – 2 rakaat

v   Lafaz Niat
“Sahaja aku solat sunat sebelum Asar dua rakaat kerana Allah Ta’ala.

v   Bacaan surah selepas Al-Fatihah

v   Rakaat Pertama – baca surah Al- Ikhlas
v   Rakaat kedua – baca surah An-Nas

NOTA : Setelah solat fardhu Asar tiada lagi solat selepas Asar.

Keutamaan Solat Sunat Sebelum Asar.

a)      Sabda Rasulullah s.a.w. : “Barangsiapa solat sebelum Asar empat rakaat diharamkan dia oleh Allah Ta’ala api neraka.”
b)      Sabda Rasulullah s.a.w. lagi yang bermaksud : “Telah memberi rahmat Allah Ta’ala akan seorang yang solat empat rakaat sebelum Asar.”

v.       SOLAT SUNAT SELEPAS MAGHRIB (BA’DIYATAN)

Masa Mengerjakan

Selepas solat Maghrib – sebaik-baiknya dikerjakan setelah tasbih, tahmid, takbir dan doa – Muakkad.

Cara Mengerjakannya

v   Bilangan rakaat – 2 rakaat

v   Lafaz Niat
“Sahaja aku solat sunat selepas Maghrib dua rakaat kerana Allah Ta’ala.

v   Bacaan surah selepas Al-Fatihah

v   Rakaat Pertama – baca surah Al-Kafirun
v   Rakaat kedua – baca surah Al-Ikhlas

Keutamaan Solat Sunat Sebelum Maghrib.

a)      Sabda Rasulullah s.a.w. : “Barangsiapa solat sesudah fardhu Maghrib dua rakaat sebelum berkata-kata (hal dunia) disuratkan mereka dalam kebaikan pada segala amal”.

b)      Dalam hadis lain Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Barangsiapa antara waktu solat fardhu Maghrib dan Isya’ duduk di dalam masjid, tanpa bercakap, hanya solat dan membaca ayat-ayat Al-Quran, maka Allah s.w.t. dengan kasih sayang dan kemurahanNya akan mendirikan untuknya dua istana di syurga dimana jarak di antara dua istana itu ibarat berjalan seratus tahun. Dan di antara istana akan dihiasi dengan tanaman pokok, sekiranya seluruh penghuni bumi berkunjung ke istana itu, mereka akan masih merasa sangat lapang.

vi.      SOLAT SUNAT SEBELUM ISYA’ (QABLIYATAN).

Masa Mengerjakan

Selepas azan Isya’ – sebelum mengerjakan fardhu Isya’ (Muakkad)

Cara Mengerjakannya

v   Bilangan rakaat – 2 rakaat

v   Lafaz Niat
“Sahaja aku solat sunat sebelum Isya’ dua rakaat kerana Allah Ta’ala.

v   Bacaan surah selepas Al-Fatihah

v   Rakaat Pertama – baca surah Al-Kafirun
v   Rakaat kedua – baca surah Al-Ikhlas

vii.     SOLAT SUNAT SELEPAS ISYA’ (BA’DIYATAN)

Masa Mengerjakan

Selepas mendirikan fardhu Isya’ ialah setelah wirid dan doa

Cara Mengerjakannya

v   Bilangan rakaat – 2 rakaat

v   Lafaz Niat

“Sahaja aku solat sunat selepas Isya’ dua rakaat kerana Allah Ta’ala.

v   Bacaan surah selepas Al-Fatihah

v   Rakaat Pertama – baca surah Al- Ikhlas
v   Rakaat kedua – baca surah An-Nas

Keutamaan Solat Sunat Selepas Isya’

Sabda Rasulullah s.a.w. : “barangsiapa solat empat rakaat selepas solat Isya’ dahulu daripada berkata-kata (hal-hal dunia) ia seolah-olah seperti mendapat akan malam Lailatul Qadar di dalam Masjidil Haram.”

Keutamaan Solat Sunat Rawatib.

Sabda Rasulullah s.a.w. : “Barangsiapa solat di dalam sehari semalam dua belas rakaat selain dari solat fardhu maka diperbuat Allah Ta’ala baginya satu rumah di dalam syurga.” (Riwayat Muslim).

4.       SOLAT SUNAT TAHIYYATUL MASJID

Memasuki masjid bererti memasuki rumah Allah. Bagi mendapat berkat dan rahmat Allah s.w.t. maka disunatkan solat sunat Tahiyyatul Masjid sebelum duduk – Sunat Muakkad.

Masa Mengerjakan

Boleh dilakukan pada bila-bila masa memasuki masjid dan hendak duduk di dalam masjid tetapi apabila qamat sudah dibacakan maka solat sunat Tahiyyatul Masjid tidak lagi disyari’atkan ; seperti sabda Nabi yang bermaksud : “Apabila telah diqamatkan untuk solat, maka tiada lagi solat kecuali solat fardhu.”

Cara Mengerjakannya

v   Bilangan rakaat – 2 rakaat

v   Lafaz Niat

“Sahaja aku solat sunat Tahiyyatul Masjid dua rakaat kerana Allah Ta’ala.

v   Bacaan surah selepas Al-Fatihah

v   Rakaat Pertama – baca surah Al-Kafirun
v   Rakaat kedua – baca surah Al-Ikhlas

Bila duduk di dalam masjid, hendaklah lafaz niat i’tikaf iaitu :

Sahaja aku i’tikaf di dalam masjid ini kerana Allah Ta’ala

Keutamaan Mengerjakannya.

a)      Abu Qatadah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : “Apabila seseorang kamu masuk ke masjid maka janganlah ia duduk sebelum bersolat dua rakaat. (hadis riwayat Al-Bukhari).

b)      Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda yang maksudnya : “Berikanlah hak masjid kepadanya. Para sahabat bertanya : Apakah hak masjid wahai Rasulullah? Baginda menjawab : “Engkau solat dua rakaat sebelum engkau duduk.”

4.       SOLAT SUNAT JUMAAT

i.        Solat Sunat Sebelum Fadhu Jumaat

Masa Mengerjakan

Setelah azan dan sebelum mendirikan fardhu Jumaat.

Cara Mengerjakannya

v   Bilangan rakaat – 2 rakaat

v   Lafaz Niat
“Sahaja aku solat sunat sebelum fardhu Jumaat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.

v   Bacaan surah selepas Al-Fatihah

v   Rakaat Pertama – baca surah Al-Kafirun
v   Rakaat kedua – baca surah Al-Ikhlas

ii.       Solat Sunat Selepas Fardhu Jumaat

Masa Mengerjakan

Selepas mendirikan fardhu Jumaat (sebaiknya setelah wirid dan doa) dan lebih afdhal dilakukan di rumah.

Cara Mengerjakannya

v   Bilangan rakaat – 2 rakaat

v   Lafaz Niat
“Sahaja aku solat sunat selepas Fardhu Jumaat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.

v   Bacaan surah selepas Al-Fatihah

v   Rakaat Pertama – baca surah Al-Kafirun
v   Rakaat kedua – baca surah Al-Ikhlas

Keutamaan Mengerjakannya.

Daripada Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : “Barangsiapa yang mandi pada hari Jumaat kemudian datang ke masjid lalu dia solat seberapa yang diinginya (semampunya), kemudian dia diam sehingga imam selesai berkhutbah, selanjutnya solat bersama-sama imam (solat fardhu Jumaat), diampuni dosanya dari hari itu sehingga hari Jumaat selanjutnya dan ditambah sebanyak tiga hari.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

6.       SOLAT SUNAT DHUHA

Dinamakan Solat Dhuha kerana waktu mengerjannya pada waktu tersebut (Dhuha)

Masa Mengerjakan

Waktu solat Dhuha bermula dengan naiknya matahari sampai sepenggalah (lebih kurang 8 pagi) dan berakhir di waktu matahari gelincir (sebelum zawal)

Cara Mengerjakannya

v     Bilangan rakaat – tidak ditetapkan secara pasti tetapi paling kurang dua rakaat manakala paling banyak menurut beberapa hadis sahih adalah lapan rakaat. Walaupun demikian sebahagian ulama’ berpendapat bahawa jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasinya.

v   Lafaz Niat
“Sahaja aku solat sunat Dhuha dua rakaat kerana Allah Ta’ala.

v   Bacaan surah selepas Al-Fatihah

v   Rakaat Pertama – baca surah Asy-Syams
v   Rakaat kedua – baca surah Ad-Dhuha

v   Semasa sujud akhir bacalah seperti berikut 40 kali
v   Doa selepas solat sunat Dhuha

Ertinya : Ya Allah, bahawasanya Dhuha itu Dhuha Engkau dan kemegahan itu kemegahan/keagungan Engkau dan keindahan itu keindahan Engkau dan kekuatan itu kekuatan Engkau, Ya Allah, bila keadaan rezeki ku di langit maka turunkanlah ia, dan bila di dalam bumi, maka keluarkanlah ia, bila di dalam air atau di laut maka keluarkanlah ia, dan apabila haram maka sucikanlah ia dan apabila jauh dekatkanlah iam dan apabila sedikit, maka perbanyakkanlah ia dan apabila banyak maka berkahkanlah ia bagiku atasnya, dan sampaikanlah ia di mana saja aku berada, dan jadikanlah tangan saya di atas untuk menjadi pemberi dan janganlah jadikan ia di bawah untuk meminta, sesungguhnya Engkau atas tiap-tiap sesuatu Maha Kuasa, atas Dhuha Engkau yang hak, dengan kemegahan serta kekuasaan Engkau, dan pemeliharaan Engkau, maka tidak ada daya upaya serta kekuatan kecuali dengan pertolongan Engkau. Sampaikanlah padaku apa yang Engkau sampaikan kepada hamba-hamba Engkau yang soleh/taat serta baik-baik. Maka Allah berselawat atas pemimpin kami (Nabi) Muhammad dan para keluarganya serta para sahabatnya dalam kesejahteraan dan segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam.” (Semoga diterima).

Keutamaan Mengerjakannya

Sabda Rasulullah s.aw. : “Barangsiapa yang dapat mengerjakan solat Dhuha dengan kekal terus menerus, akan diampuni dosanya oleh Allah sekalipun dosa itu seluas lautan.” – Hadis riwayat At-Tirmizi).

Sabda Rasulullah s.aw. : Solat Dhuha itu mendatangkan rezeki dan menolak kefakiran/kemiskinan dan tidak ada yang akan memelihara solat Dhuha kecuali orang-orang yang bertaubat/mendekatkan diri kepada Allah. – Al-hadis.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya : :Kekasihku Rasulullah s.a.w. telah berwasiat kepada ku tiga perkara iaitu berpuasa tiga hari setiap bulan, mengerjakan dua rakaat solat Dhuha dan mengerjakan witir sebelum tidur”. – hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Daripada Umar Ibn Suib bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang maksudnya : Barangsiapa solat sunat Dhuha 12 rakaat dan dibaca pada setiap rakaat Al-Fatihah dan Ayatul Kursi dan Surah Al-Ikhlas 3 kali nescaya turun dari langit 70,000 malaikat bersama mereka itu beberapa kertas putih dan beberapa Kalam daripada Nur menyurat (menulis) mereka baginya akan beberapa kebajikan hingga hari ditiup sangkakala maka apabila pada hari kiamat datang akan dia oleh segala malaikat serta setiap satu malaikat itu pakaian dan hadiah, maka berdiri mereka itu pada kuburnya dan berkata mereka itu pada kuburnya : Hai sahabat kubur, bangkitlah dengan izin Allah maka bahawasanya engkau daripada orang-orang yang benar.

Daripada Nuwas bin Sam’am bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Allah ‘Azza Wajalla berfirman : Wahai Anak Adam, jangan sesekali engkau malas mengerjakan solat sebanyak empat rakaat pada permulaan siang (Solat Dhuha), kelak akan Aku cukupkan keperluanmu pada waktu petangnya.” – Hadis Riwayat Hakim dan Thabarani.

7.       SOLAT SUNAT ISYRAQ

Masa Mengerjakan

Selain daripada solat Dhuha, solat sunat Isyraq juga dikerjakan di waktu pagi. Masanya bermula apabila matahari sudah terbit sekadar sepenggalah iaitu lebih kuran 7.30 pagi hingga 8.30 pagi. Setelah itu diteruskan dengan solat sunat Dhuha.

Cara Mengerjakannya

v   Bilangan rakaat – 2 rakaat

v   Lafaz Niat

“Sahaja aku solat sunat Isyraq dua rakaat kerana Allah Ta’ala.

v   Bacaan surah selepas Al-Fatihah

v   Rakaat Pertama – baca surah Al-Kafirun
v   Rakaat kedua – baca surah Al-Ikhlas

v   Doa selepas solat sunat Isyraq

Ertinya : “Segala puji kembali kepada Allah, yang telah menjadikan hari ini sejahtera dan telah terbit matahari dari tempatnya. Ya Allah! Berikanlah aku kebaikan hari ini dan jauhkanlah daripadaku keburukan hari ini. Ya Allah, terangilah hatiku dengan cahaya hidayahMu sebagaimana telah Engkau terangi bumi dengan matahariMu terus menerus dengan RahmatMu. Ya Tuhan Ya Maha Pengasih.”

Keutamaan Mengerjakannya

Allah memurahkan rezeki pada orang yang selalu mengamalkan solat sunat Isyraq.

8.       SOLAT SUNAT ISTIKHARAH

Solat sunat Istikharah dilakukan apabila ada keraguan di dalam hati dalam membuat pilihan dan keputusan yang tidak dapat dipastikan samada perlu diteruskan atau tidak. Bagi tujuan tersebut sebarang hajat yang bersifat harus amatlah digalakkan untuk melakukan solat sunat Istikharah manakala hajat yang bersifat haram hendaklah dijauhkan.

Solat sunat Istikharah sebenarnya adalah bertujuan mencari kebaikan dalam membuat pilihan yang tepat iaitu sekiranya kita mempunyai hajat (dalam membuat pilihan) lalu didirikan solat sunat Istikharah. Semoga Allah memberi petunjuk untuk membuat pilihan dan bentuk petunjuk tidaklah semestinya melalui mimpi tetapi juga gerak rasa dan perasaan kita terhadap hajat tersebut.

Masa Mengerjakan

Boleh dilakukan pada bila-bila masa sesuai dengan tujuan dan maksud kita. Boleh dilakukan berulang-ulang kali sehingga memperolehi isyarat atau petunjuk terhadap perkara yang kita ragukan tersebut.

Cara Mengerjakannya

v   Bilangan rakaat –   i) Dua rakaat satu salam atau
                          ii) Dua belas rakaat enam salam

v   Lafaz Niat

“Sahaja aku solat sunat Istikharah dua rakaat kerana Allah Ta’ala.

v   Bacaan surah selepas Al-Fatihah

v   Rakaat Pertama – baca surah Al-Kafirun
v   Rakaat kedua – baca surah Al-Ikhlas

Dalam sujud yang terakhir (sujud kedua dalam rakaat kedua), bacalah tasbih berikut :


Ertinya : “Maha Suci Engkau, tiada pengetahuan bagi kami melainkan apa yang Engkau berikan pengetahuan kepada kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana”.

v   Doa selepas solat sunat Istikharah
Ertinya : “Ya Allah, aku memohon petunjuk yang baik dalam pengetahuan Mu, aku memohon ditakdirkan yang baik dengan kudrat Mu, aku mengharapkan kurnia Mu yang besar. Engkau Maha Kuasa dan aku adalah hamba Mu yang dhaif. Engkau Maha Mengetahui dan aku adalah hamba Mu yang jahil. Engkau Maha Mengetahui semua yang ghaib dan tersembunyi. Ya Allah, jika hal ini dalam pengetahuan Mu adalah baik bagi kehidupanku sekarang dan masa akan datang, takdirkanlah dan mudahkanlah bagiku kemudian berilah aku berkat daripadanya. Tetapi jika dalam ilmu Mu hal ini akan membawa bencana bagiku dan bagi agamku, baik sekarang ataupun pada masa akan datang, jauhkanlah ia daripadaku dan jauhkanlah aku daripadanya. Semoa Engkau ditakdirkan aku pada pada yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas setiap sesuatu.”

Keutamaan Mengerjakannya

a)      Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Thabarani bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang maksudnya : “Tidak akan kecewa bagi orang yang melaksanakan solat istikharah dan tidak akan menyesal bagi orang yang suka bermesyuarat dan tidak akan berkurangan bagi orang yang suka berhemat.”

b)      Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya : “Rasulullah s.a.w. memberikan pelajaran kepada kita untuk beristikharah di dalam segala perkara, sebagaimana Baginda mengajar kepada kita surah dari Al-Quran. – Hadi riwayat Ibnu Majjah.

c)       Diriwayatkan oleh Ibnu Sunni daripada Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : “Apabila kamu bercita-cita untuk mengerjakan sesuatu, maka hendaklah kamu meminta pilih (solat Istikharah)daripada Allah sebanyak tujuh kali. Selepas itu lihatlah apa yang digerakkan pada hati oleh Allah mendahulukannya, kerana sesungguhnya kebaikan itu ada pada apa yang didahulukan.”

9.       SOLAT SUNAT AWWABIN

Solat sunat Awwabin adalah solat sunat yang dikerjakan bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. serta menginsafi dosa yang telah dilakukan, disertai dengan hasrat untuk bertaubat serta menambahkan keimanan kepadaNya.

Masa Mengerjakan

Waktunya ialah antara waktu Maghrib dan Isya’

Cara Mengerjakannya

v   Bilangan rakaat – Samada dua, empat atau enam rakaat. (tetapi lebih afdhal enam rakaat dan tiga salam)

v   Lafaz Niat

“Sahaja aku solat sunat Awwabin serta memelihara iman dua rakaat kerana Allah Ta’ala.


v   Bacaan surah selepas Al-Fatihah

v   Rakaat Pertama – Surah Al- Ikhlas enam kali
 Surah Al-Falaq sekali
 Surah An-Nas sekali
Rakaat kedua sama seperti bacaan di atas (rakaat pertama)

Doa selepas solat sunat Awwabin

Ertinya : “Ya Allah, luruskan jalanku dengan iman, dan peliharalah keimanan itu atas diriku, semasa matiku dan selepas matiku.”

Setelah mendirikan dua rakaat yang pertama, maka kalau mampu teruskan dengan dua rakaat yang kedua dengan lafaz niat berikut :-

Sahaja aku solat sunat Awwabin dua rakaat kerana Allah Ta’ala

v   Bacaan surah selepas Al-Fatihah

v   Rakaat Pertama – Surah Al- Kaafiruun
v   Rakaat kedua – Surah Al-Ikhlas

Setelah itu, berdiri lagi untuk mengerjakan dua rakaat yang ketiga, dengan lafaz niat berikut :-

Sahaja aku solat sunat Awwabin serta Istikharah dua rakaat kerana Allah Ta’ala

v   Setelah memberi salam maka ucapkanlah :

Ertinya : “Wahai yang hidup selama-lamanya, wahai yang mempunyai kebesaran dan kepemurahan, aku mohon kepadaMu supaya menghidupkan hatiku dengan Nur MakrifatMu, Ya Allah! Ya Allah! Wahai yang menghidupkan yang mati, wahai kekasih: kasih yang pengasih.”

v   Bacaan surah selepas Al-Fatihah

v   Rakaat Pertama – Surah Al- Kaafiruun
v   Rakaat kedua – Surah Al-Ikhlas atau
v   Rakaat Pertama – Ayat 68 – 70 Surah Al-Qasash
v   Rakaat kedua – Ayat 36 – 38 Surah Al-Ahzab

Selepas memberi salam, bacalah doa berikut :-

Ertinya : “Ya Allah! Pilihlah untukku sesuatu yang padanya kebaikan dan keelokan pada urusan agamaku dan duniaku dengan Rahmat Engkau wahai Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Keutamaan Mengerjakannya

Diriwayatkan dari At-Tirmizi dan Ibnu Majjah bahawa dari Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Siapa mengerjakan solat sunat sesudah Maghrib enam rakaat sebelum bercakap apa-apa yang buruk, maka samalah seperti dia mengerjakan ibadat selama dua belas tahun.”

Ibnu Nasr meriwayatkan dari Ibnu Umar yang berkata : “Siapa mengerjakan solat sunat sesudah Maghrib enam rakaat sebelum bercakap, maka akan diampunkan dosanya oleh Allah selama lima puluh tahun.” (Hadis)


10.     SOLAT SUNAT TAUBAT

Solat sunat Taubat adalah solat sunat yang dianjurkan bagi orang yang menyesali perbuatan maksiat yang dilakukannya. Allah s.w.t. sangat mengasihi orang yang suka mengaku kesalahannya serta bertaubat. Rasulullah s.w.a. adalah seorang yang maksum (tiada dosa) telah beristighfar dan bertaubat antara 70 hingga 100 kali sehari, maka kita sebagai makhluk Allah yang lemah dan sentiasa terjerumus dalam melakukan dosa kecil atau besar sewajarnyalah bertaubat kepada Allah s.w.t. Apabila seseorang yang ingin bertaubat adalah disunatkan supaya mendirikan solat sunat Taubat dua rakaat.

Masa Mengerjakan

Waktu tidak ditetapkan secara khusus dan boleh dilakukan pada bila-bila masa, tetapi adalah lebih baik jauh dari hiruk-pikuk terutamanya di malam yang sunyi.

Cara Mengerjakannya

v   Bilangan rakaat – Boleh dilakukan seberapa banyak rakaat yang dikehendaki asalkan ianya dilakukan setiap dua rakaat dengan sekali salam.

v   Lafaz Niat

“Sahaja aku solat sunat Taubat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.

v   Bacaan surah selepas Al-Fatihah

v   Rakaat Pertama – Ayat Kursi sebelas kali
v   Rakaat kedua –surah Al-Ikhlas sebelas kali

Dalam sujud terakhir, selepas membaca tasbih biasa sewaktu sujud, bacalah tasbih Taubat ini 40 kali.

Tiada Tuhan melainkan Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang zalim.

Selepas memberi salam perbanyaklah istighfar memohon keampunan Allah s.w.t. Seringkas-ringkas dengan ucapan Astaghfirullahal ‘azim. Dan sebaik-baiknya ucapkanlah berulang kali seperi berikut :-



Ertinya : “Aku memohon keampunan kepada Allah Yang maha Agong, tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Hidup dan terus menerus Ada, dan aku bertaubat kepadaNya sebagaimana taubatnya seorang hamba yang banyak dosa, yang tidak mempunyai daya upaya untuk membuat mudharat atau manfaat untuk mati atau hidup mahupun ketika dibangkitkan nanti.”

Keutamaan Mengerjakannya.

Allah s.w.t. berfirman di dalam ayatNya yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang yang menyucikan diri.” (Al-Baqoroh : Ayat 222)

FirmanNya lagi bermaksud : “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” (An-Nur : Ayat 31)

Dan firmanNya : “Dan orang-orang yang apabila mereka telah melakukan perbuatan keji atau menginayai diri mereka sendiri, lantas mereka ingat kepada Allah, kemudian mereka memohon ampun atas dosa-dosa mereka itu.” (Ali Imran : Ayat 135)