Sunday, January 30, 2011

SOLAT & SOLAT SUNNAT


 Pengertian Solat

Solat dipetik dari perkataan Solla yang bermaksud berdoa dan mendirikan sembahyang. Sebenarnya perkataan SEMBAHYANG dirasakan kurang tepat dalam menterjemahkan kata SOLLA kerana sembahyang berasal dari bahasa Sanskrit yang mana berasal dari dua suku kata yang disatukan iaitu Sembah dan Hyang. Sembah membawa maksud menyebah manakala Hyang membawa maksud Dewa. (Menyembah dan memuja dewa)

Oleh yang demikian adalah lebih tepat kita menggunakan kata SOLAT untuk istilah Sembahyang. Solat telah diambil dari bahasa Arab Al-Quran yang mengandungi erti yang dalam dan halus jika dibandingkan dengan bahasa lain di dunia ini.

Jadi pengertian Solat dari segi syar’ei iaitu menyembah Allah s.w.t dimulai dengan takbir dan diakhiri dengan salam, serta dikerjakan pada waktu tertentu.

SYARAT WAJIB SOLAT

1.             Islam
2.             Berakal
3.             Akil baligh (sampai umur)

SYARAT-SYARAT SAH UNTUK MENDIRIKAN SOLAT

1.             Suci dari hadas kecil dan besar
2.             Suci anggota badan, pakaian serta tempat solat daripada najis.
3.             Menutup aurat
4.             Masuk waktu solat (mengetahui masuk waktu dengan yakin)
5.             Menghadap arah kiblat.

RUKUN SOLAT ( 13 PERKARA )

1.             Niat
2.             Berdiri tegak (bagi yang berkuasa)
3.             Takbirotul Ihram
4.             Membaca Fatihah
5.             Ruku’ dengan thoma’ninah (berhenti sebentar)
6.             Iktidal dengan thoma’ninah
7.             Sujud pertama dengan thoma’ninah
8.             Duduk antara dua sujud dengan thoma’ninah
9.             Duduk bagi tahiyat (tasyahud) akhir
10.         Membaca tasyahud akhir
11.         Selawat ke atas Nabi dan keluarganya dalam tasyahud akhir
12.         Memberi salam (yang pertama)
13.         Tertib (teratur semua perbuatan)

PERKARA YANG MEMBATALKAN SOLAT ( 13 PERKARA )

Terdapat 13 perkara yang membatalkan solat, oleh itu perkara-perkara yang tidak termasuk di dalam 13 perkara ini tidak dikira membatalkan solat. Sekiranya solat itu terbatal, maka wajiblah ia mengulangi semula solat tersebut.

1.             Berkata-kata dengan sengaja selain dari bacaan Al-Quran dalam solat, zikir atau doa walaupun satu huruf.
2.             Menambah atau mengurangkan perkara atau perbuatan di dalam rukun fi’li semasa mendirikan solat.
3.             Kedatangan hadas samada kecil atau besar.
4.             Kedatangan atau terkena najis yang tidak dimaafkan samada di anggota badan atau pakaian. Sekiranya jatuh pada pakaian najis yang kering dan boleh dibuang serta-merta maka tidaklah batal solat tersebut walaupun demikian najis itu tidak boleh disentuh dengan tangan.
5.             Terbuka aurat walaupun dengan tidak sengaja seperti ditiup angin, tetapi jika segera ditutup semula dengan serta-merta waktu itu maka solatnya tidak batal.
6.             Mengubah niat – umpamanya ia sedang solat fardhu zohor kemudian ditukar niatnya kepada solat sunnat zohor maka terbatallah solatnya, tetapi sekiranya berniat solat mutlak tidaklah batal bahkan solat itu menjadi solat sunnat.
7.             Makan – walaupun sedikit kecuali terlupa.
8.             Minum – walaupun sedikit kecuali terlupa.
9.             Membelakangkan kiblat dengan dadanya.
10.         Ketawa dengan sngaja sehingga terkeluar suara melebihi dua huruf. (Begitu juga dengan menangis)
11.         Murtad – iaitu terkeluar daripada agama Islam
12.         Bergerak dengan sengaja berturut-turut tiga kali.
13.         Mendahului imam dua rukun – sekiranya berjemaah.

PERKARA ATAU PERBUATAN SUNNAT DI DALAM SOLAT

1.       Perkara-perkara Sunnat Sebelum Solat.

a)             Azan (bang) dan Qomat. Adzan dan Qomat disunatkan bagi lelaki dan perempuan sunat qomat sahaja.
b)             Bersiwak (gosok gigi) kecuali bagi yang puasa setelah gelincir matahari – maka makruh bersiwak.
c)             Membuat tirai (bagi perempuan) sekiranya orang lelaki berada di hadapan ketika solat.

2.       Perkara-Perkara Sunat Semasa Solat

Perkara-perkara sunat semasa mendirikan solat terdiri daripada dua bahagian iaitu Sunat Ab’adh dan Sunat Hai-ah.

a)       Sunat Ab’adh – iaitu perkara atau perbuatan sunat bilamana ditinggalkan (tidak dilakukan) maka dikehendaki digantikan dengan sujud sahwi iaitu seperti :-

                                  i.              Tahiyat awal
                                ii.              Selawat di dalam tahiyat awal
                              iii.              Duduk tahiyat awal
                              iv.              Doa qunut pada rakaat kedua semasa solat subuh dan solat witir dalam bulan Romadhon iaitu sejak malam 15 Romadhon hingga akhir bulan Romadhon.
                                v.              Selawat di dalam bacaan qunut
                              vi.              Menselawatkan ke atas keluarga Nabi semasa tahiyat akhir.

b)      Sunat Hai-ah – iaitu perkara atau perbuatan sunat bilamana ditinggalkan (tidak dilakukan) maka TIDAK PERLU digantikan dengan sujud sahwi iaitu seperti :-

                                  i.              Mengangkat kedua tangan ketika takbir, ruku’, i’tidal dan berdiri dari tahiyat awal.
                                ii.              Meletakkan tangan kanan atas kiri dengan menggenggam buku tangan kiri serta diletakkan di bawah dada sedikit ke kiri.
                              iii.              Doa iftitah
                              iv.              Mengatakan ta’awuz – A’uzubillahi minasyaitonir rojim
                                v.              Membaca dengan nyaring dan rendah pada tempatnya.
                              vi.              Membaca amin kemudian dari membaca Fatihah.
                            vii.              Membaca Allahu Akbar ketika berpindah rukun ke rukun yang lain.
                          viii.              Membaca Sami’allahu limanhamidah. Ketika bangun dari ruku’ dan Robbanalakalhamdu ketika i’tidal.
                              ix.              Membaca tasbih tiga kali dalam ruku’ dan sujud.
                                x.              Meletakkan tangan ke atas paha ketika duduk tasyahud, menghamparkan yang kiri di atas paha kiri, menggenggam yang kanan di atas paha kanan, kecuali telunjuk guna berisyarat ketika mengatakan Illallah iaitu dengan diluruskan agak ke muka cenderung ke bawah.
                              xi.              Duduk iftirosy (cara duduk tasyahud awal)
                            xii.              Duduk tawarruk (cara duduk tasyahud akhir)
                          xiii.              Salam yang kedua
                          xiv.              Khusyu’ dalam solat.

WAKTU YANG DILARANG SOLAT

1.             Selepas solat subuh hingga matahari naik.
2.             Di kala matahari naik sampai sepenggalah (ketika matahari terbit)
3.             Di waktu matahari sampai zawal
4.             Selepas solat Asar hingga matahari terbenam
5.             Di waktu matahari terbenam.

CARA-CARA KHUSYU’ DALAM SOLAT

1.             Solat berjemaah (yang paling afdhal ialah di masjid)
2.             Menjaga makanan dan minuman yang didapati adalah daripada punca yang halal begitu juga makanan yang syubahat.
3.             Membanyakkan sedekah kepada fakir miskin
4.             Jangan solat dalam keadaan sedang menahan buang air besar atau air kecil.
5.             Memakai pakaian yang bersih dan kemas.
6.             Solat di awal waktu
7.             Pastikan supaya tidak ada gambar yang boleh mengganggu fikiran atau membimbangkan hati di tempat sujud.
8.             Mengingatkan mati dan kemungkinannya solat itu yang terakhir sekali dalam hidupnya.
9.             Menyedari bahawa ia sedang berhadapan dengan Allah Yang Maha Agong dan Maha Mengetahui segala rahsia hambaNya.
10.         Memenuhkan dada dengan perasaan takut dan rendah diri terhadap Allah.
11.         Memahami segala bacaan dalam solat termasuk ayat-ayat Al-Quran dan segala zikir.
12.         Sebelum mengangkat takbir, baca Surah An-Nas, selawat kepada Nabi, istighfar dan bacaan-bacaan lain untuk menjauhkan gangguan syaitan.
13.         Hendaklah merasakan bahawa kita sedang dilihat oleh Allah Rabbul Jalil.
14.         Memusatkan seluruh ingatan serta perasaan kepada solat bahawa kita sedang bercakap-cakap dengan Tuhan dan sedang menyembahnya.
15.         Memanjangkan masa ruku’ dan sujud.
16.         Memastikan tidak ada gangguan di dalam kawasan kita solat.

 bersambung ....

No comments:

Post a Comment